My Writings. My Thoughts.

Makanan kegemaran adalah makanan pertama

At » Sunday, January 25, 2009 // 0 Comments »



Percayakah anda, makanan kegemaran seseorang, adalah sebenarnya makanan pertama yang ia makan? Jika teori ini benar, bermakna sesiapa yang menggemari nasi briyani misalnya, bermakna ia telah menjamah nasi briyani setelah beberapa waktu menjamu susu ibu sahaja. Jika pendapat ini benar, bermakna sesiapa yang menggemari ayam goreng KFC misalnya, sudah menjamah ayam goreng tersebut sejak zaman bayinya, biar belum pun tumbuh gigi pada waktu dan ketika itu.

Tentu, orang ramai akan pantas menyanggah kenyataan ini. Apakah mesti, bahkan apakah masuk akal bahawa makanan kegemaran kita merupakan makanan pertama yang kita jamahi? Dengan bertegasnya anda dalam mempertikai dan membantah logika ini, maka, bersandar pada logika itu jugalah, masyarakat kita -sedar tidak sedar- begitu “fanatik” untuk mengazankan telinga bayi begitu ia dilahirkan. Tidak boleh lewat. Tidak boleh lambat!

Dari Abu Rifa’I, dia berkata; “Saya pernah melihat Rasulullah S.A.W membacakan azan di telinga al-Hasan setelah dia dilahirkan Fatimah.[1]

Selain memenuhi sunnah Nabi SAW untuk mengazankan bayi sejurus dilahirkan, seperti yang diutarakan di hadith di atas (biar pun terdapat juga perbahasan mengenai sejauh mana kesunnahannya), dengan menjadikan kalimah azan, kalimah yang mengungkapkan kebesaran dan keagungan ALLAH sebagai kalimah pertama yang didengar oleh seseorang bayi, masyarakat mengharapkan moga anak itu akan membesar sebagai anak yang soleh, taat beragama dan bisa menjamin amal berterusan buat mak ayahnya biar sudah masuk ke fasa alam “sebelah sana.

Tidak ada salahnya harapan mak ayah ini. Cuma, andainya seorang anak itu hanya dihidangkan dengan kalimah membesarkan ALLAH dan mempekenalkan Islam hanya di awal usia sahaja, apakah munasabah anak itu bisa -dengan hanya sekali itu diperkenalkan kepada Islam- membesar sebagai anak soleh dan taat kepada ibubapa dan aturan agama? Apakah jika di rumah ia sendiri tidak pernah mendengar alunan ayat-ayat suci al-Quran (lantaran mak ayahnya malas nak mengaji), di kereta diperdengarkan dengan lagu-lagu tak senonoh artis tempatan (via radio dan cakera padat), disantapkan dengan dialog-dialog non-Islami dari corong televisyen, tiba-tiba sang anak itu bisa menjadi seorang anak yang “alim” seperti yang kita harap-harapkan? Apakah kita mahu anak yang alim, atau sekadar “alim-alim Mawi” sahaja (peribahasa moden kepada alim-alim kucing)? Bukankah rumus dan kaedah “makanan kegemaran adalah makanan pertama kita” tidak diterima pakai, maka tentu produk dan tingkah laku anak-anak kita tidak bergantung kepada kalimah apa yang pertama sekali ia diperdengarkan?

Itulah sebabnya, Islam mengungkapkan betapa tanggungjawab dan amanah terbesar yang digalas oleh para ibu dan ayah, bukanlah sekadar membelikan pakaian, memberi makanan, menyediakan tempat tinggal, lantaran bukan sahaja ibubapa Muslim, non-Muslim pun, bahkan binatang pun turut menyediakan hal-hal demikian buat anak mereka. Tapi, ternyata “tarbiyah”lah yang menjadi jasa utama yang diperingatkan buat sang anak demikian mahu mendoakan kesejahteraan buat ibu dan ayah.

Oleh yang demikian, mengazankan telinga anak hanya saat kelahiran, tetapi kemudiannya tidak menghidangkan mereka dengan bacaan ayat suci al-Quran oleh ibu dan ayah di rumah, atau lewat cakera padat di dalam kereta, dan lain sebagainya, tidak bisa menjamin kesolehan yang diharapkan, tetapi bahkan sekadar melahirkan “si bintang kecil” seperti yang dibangga-banggakan di kaca telivesyen. Tentu, kanak-kanak itu bisa menghafal lagu-lagu lagha itu lantaran selalu diperdengarkan kepada mereka di rumah. Maka, bukankah sifir itu juga bisa diguna pakai, andai sang anak sering didedahkan dengan ayat-ayat suci al-Quran? Tidak mahukah anda meng”eksploit” syafaat anak yang hafiz al-Quran, bahkan sejak usia mudanya? Tidak kepinginkah anda memperoleh anak-anak yang -oleh Quran- disebut qurratu a’yun , sejuk mata memandang?

Maka lahapkanlah anak-anak anda dengan didikan dan pendedahan tentang Islam, lantaran sifat, sikap dan akhlak “kegemarannya”, tentu bukan sekadar ditentukan oleh “makanan” pertamanya.

My videos. Featured videos.

Networkedblogs

MY style 2010

MY style 2010

My photos. Now you know me.

Time

Browse Flickr

My lifestream. Stay updated with me.

my twEETer

My favblog. Feeds from them.

    I am the

    Photobucket